PADA 06-11-2010 DI DEWAN SRI PINANG, PULAU PINANG
Salam Hormat dan Selamat Sejahtera, Vanakkam.
Pada hari yang Indah ini, kita berhimpun di sini untuk bersama – sama meraikkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2010. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh masyarakat Hindu yang meraikan Deepavali. Baru semalam kita telah menyambut Deepavali, dan sambutanya akan berterusan ke beberapa hari lagi. Saya berharap sambutanya tetap akan meriah seperti tahun – tahun sebelum ini.
Ini adalah kali pertama Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri diadakan di Pulau, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan. Nampaknya, tidak kira Rumah Terbuka sebegini diadakan di bahagian Pulau ataupun bahagian Tanah Besar, sambutan daripada masyarakat Pulau Pinang tetap meriah.
Tuan Yang Terutama Tun, dan para hadirin sekalian
Seperti yang kita semua sedia maklum, Konsep Rumah Terbuka ini menunjukkan betapa uniknya kita masyarakat Malaysia, yang menjalin hubungan yang baik antara satu sama lain. Kita meraikan sesuatu perayaan tersebut, tidak kira Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Deepavali, sebagai satu masyarakat yang berpadu. Perpaduan sebeginilah yang harus dipupuk selamanya. Perpaduan itu tidak akan lahir dari sesuatu slogan, malah akan lahir daripada komitmen dan ketulusan masyarakat itu sendiri. Melaungkan “slogan perpaduan” sambil mempersenda sesuatu kaum atas asal usul mereka tidak akan melahirkan perpaduan.
Bagi saya, kita Rakyat Malaysia memang sudah matang dan amat tulus, sebab itulah kita dapat meraikan perayaan seperti Deepavali ini dengan penuh rasa ceria, walaupun ada kuasa-kuasa ekstrim yang cuba menggugat keakraban kita ini. Namun demikian, semangat Perpaduan dan keutuhan ini tidak akan runtuh sebegitu sahaja, kerana kita mempunyai identiti yang sama, iaitu identiti sebagai Rakyat Malaysia. Jangan kita khuathir tentang anasir – anasir jahat tersebut, dan terus hidup dalam kemajmukan dan keharmonian yang telah dipupuk selama ini.
Tuan Yang Terutama Tun, dan para hadirin sekalian,
Perayaan Deepavali ini diraikan sempena kemenangan kuasa kebaikkan menentang kuasa kejahatan; Kemenangan cahaya menentang kegelapan. Setiap kali datangnya Deepavali, ia mengingatkan kita bahawa kejahatan dan kegelapan itu tidak akan kekal selamanya. Kebaikkan dan Cahaya pasti akan muncul untuk menumbangkan kejahatan dan kegelapan itu. Kita harus mengambil ikhtiar untuk menjauhi sifat-sifat kejahatan yang ada pada diri kita, dan untuk kekal dengan sifat-sifat kebaikkan.
Kami Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan sentiasa cuba untuk membawa kebaikkan sampai kepada masyarakat Pulau Pinang, walaupun ada unsur-unsur kejahatan cuba untuk mensabotaj usaha kita. Kita tetap akan pertahankan kebenaran dan kebaikkan. Kami berikrar pada hari yang penuh ceria ini, bahawa kami di Kerajaan PR Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada unsur-unsur jahat tersebut.
Tuan Yang Terutama Tun, dan para hadirin sekalian,
Akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan yang sudi menyertai kita dalam majlis rumah terbuka ini. Tidak lupa juga Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan para EXCO yang turut menyertai kita. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat dalam penganjuran majlis rumah terbuka ini, yang sudi meluangkan masa mereka untuk menganjurkan majlis ini, walaupun ia jatuh sehari selepas Deepavali. Pengorbanan anda amat dihargai. Dan tidak lupa kepada masyarakat Pulau Pinang yang hadir ramai-ramai pada hari ini, untuk meraikan Pesta Cahaya Deepavali bersama dengan kami, terima kasih diucapkan kepada anda semua.
Sekian, Terima Kasih.
YB Prof Dr Ramasamy,
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang